Assalamualaikum,
Bersama ini saya lampirkan kenyataan PACE tentang isu serangan ke atas Gaza.
PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin) mengutuk sekeras-keras tindakan
biadap rejim zionis membedil rakyat Palestin dalam satu lagi tindakan
keganasan terbaru. Serangan terbaru ini adalah rentetan dari pelbagai
bentuk pencerobohan dan pelanggaran hak asasi rakyat Palestin sejak
rejim itu mengusir rakyat Palestin
dari tanah air mereka pada tahun 1948 dalam peristiwa Nakbah
(malapetaka) dan menceroboh Baitul Maqdis dan menguasai Masjid al Aqsa
sejak tahun 1967.
Rakyat Gaza yang menderita sejak 18 bulan yang lalu akibat penutupan
sempadan oleh Israel sehingga terputus bekalan makanan, ubat-ubatan,
bahan api dan bekalan air bersih kini menghadapi serangan
bertubi-tubi Israel dengan menggunakan jet-jet pejuang F-16 dan
helikopter penggempur Apachee ke atas sasaran awam. Bilangan orang
awam di Gaza yang terbunuh kini telah mencecah hampir 300 orang dan
lebih 700 orang mengalami kecederaan. Sebilangan besar dari mangsa
adalah wanita dan kanak-kanak. Bilangan kematian dikalangan rakyat
Palestin dijangka akan terus meningkat kerana masih ramai mangsa yang
tertimbus dalam runtuhan bangunan. Serangan juga akan diteruskan oleh
Israel tanpa ada tanda-tanda ia akan dihentikan. Bahkan pasukan darat
tentera Israel juga sedang bersedia di perbatasan Gaza dan akan
melancarkan serangan besar-besaran pada bila-bila masa. Sudah tentu
ini akan meningkatkan lagi kemusnahan, kematian dan kematian di
kalangan penduduk Gaza.
PACE menolak dakwaan Israel bahawa serangan terbaru ini adalah
merupakan langkah keselamatan untuk mempertahankan diri. Ini adalah
satu pembohongan yang nyata. Hakikatnya Israel telah merancang
serangan ini sejak 6 bulan lalu sebaik sahaja tempoh gencatan senjata
berakhir 19 Disember yang lalu. Serangan roket oleh pejuang Palestin
hanya dijadikan sebagai alasan untuk mewajarkan tindakan Israel. Apa
yang berlaku ialah serangan roket pejuang Palestin adalah serangan
balas ke atas beberapa provokasi tentera
Israel termasuklah tindakan menceroboh ke adalam wilayah Gaza ketika
tempoh gencatan senjata sedang berkuat kuasa.
PACE juga ingin membawa perhatian masyarakat antarabangsa hakikat
serangan ini dilakukan pada akhir musim persekolahan di Gaza. Ini
jelas menunjukkan bahawa regim zionis mempunyai motif malafide untuk
memaksimumkan jumlah kematian orang awam terutama wanita dan
kanak-kanak yang berada di tempat kediaman masing-masing. Serangan
yang ditujukan kepada balai polis yang semestinya berada di dalam
pusat bandar jelas bertujuan untuk meningkatkan kematian dan
kecederaan di kalangan orang awam.
PACE turut mempersoal kenyataan Mahmud abbas yang masih menyalahkan HAMAS ke
atas serangan di Gaza adalah bukti jelas bahawa Presiden pihak
berkuasa Palestin di Tebing Barat itu bersekongkol dengan pihak rejim
zionis yang mengadakan sekatan dan kepungan ke atas Gaza tanpa henti
sejak 18 bulan yang lalu.
PACE menggesa umat Islam dan rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh
dengan media barat dan kenyataan pemimpin-pemimpin US, Israel, Mesir
dan pihak berkuasa Palestin yang terus mengelak dari membicarakan isu
sebenar di belakang penentangan rakyat Gaza dan Palestin. Hakikatnya
Israel telah menutup sempadan Gaza dan menghalang bekalan makanan,
ubat-ubatan, bahan api, bekalan air bersih dan sebarang bentuk bentuan
kemanusiaan. Bahkan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Gaza sudah
sampai ke tahap di mana mereka terpaksa memakan rumput di tepi jalan
untuk meneruskan kehidupan. Dengan ini tindak-tanduk rakyat Palestin
adalah selari dengan Konvensyen Geneva yang merestui hak mereka untuk
mempertahankan diri dari pencerobohan asing dan pendudukan haram oleh
mana-mana pihak.
PACE juga membidas sikap kepura-puraan negara Islam/Arab. Kejujuran
kerajaan Mesir dipersoalkan kerana mendakwa mereka bersedia untuk
mengizinkan rakyat Gaza yang tercedera di bawa masuk melalui sempadan
Rafah bagi menerima rawatan. Tetapi sehingga saat ini tidak ada rakyat
Gaza yang dibenarkan untuk memasuki Mesir kerana dihalang oleh pasukan
keselamatan Mesir. Apabila bantahan dibuat kepada Menteri Dalam negeri
Mesir beliau 'berjanji' untuk menyiasat perkara ini. Soalnya apakah
Mesir mengambil sikap membela saudara-saudaranya di Gaza atau tunduk
kepada arahan Tel Aviv/USA?
Atas rasa keprihatinan dan solidariti yang mendalam bersama rakyat
Gaza, PACE mengsyorkan agar umat Islam mengadakan solat Hajat perdana
dengan tujuan yang khusus bagi membina kesedaran dan keprihatinan yang
tinggi di kalangan umat islam agar membela saudara seislam yang
teraniaya dan dizalimi di bumi Gaza dan Palestin. Umat Islam harus
insaf bahawa isu ini juga terkait dengan pembelaan tanah suci Baitul
Maqdis di mana terletaknya Masjid al Aqsa yang diberkati .
PACE bersama rakyat Malaysia ingin merakamkan rasa sedih yang amat
mendalam keatas penderitaan yang menimpa rakyat Palestin di Gaza dalam
suasana ketika seluruh dunia Islam menyambut Ma'al Hijrah 1430H dan
ketika tahun 2008 akan melabuhkan tabirnya menjelang ketibaan tahun
baru 2009. Apakah ia menandakan tahun baru ini menjanjikan penderitaan
berpanjangan kepada rakyat Palestin? Oleh kerana itu PACE menggesa
seluruh lapisan masyarakat bangkit untuk menyuarakan bantahan supaya
kebiadaban dan keangkuhan rejim zionis yang disokong oleh USA
dihentikan dengan segera.
Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor
Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE)
29 Disember 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment